Komuniti di Bagan Datuk mempunyai hubungkait yang rapat dengan persekitaran hutan paya bakau. Antara hasil yang diperolehi dari hutan paya bakau ini adalah seperti udang galah, ketam nipah, siput, kepah serta pelbagai jenis ikan. Kebergantungan komuniti terhadap sumber dan hasil hutan paya bakau dan pesisir pantai Bagan Datuk adalah untuk tujuan penjanaan pendapatan, sara diri menampung kehidupan seharian serta sebagai salah satu hobi di masa lapang. Di mana, pekerjaan sebagai nelayan pantai termasuklah kawasan hutan paya bakau merupakan penyumbang utama (28% dari keseluruhan)  sumber pendapatan di kawasan ini. Selain itu, dianggarkan sejumlah 23% daripada pendapatan tunai bulanan komuniti di kawasan ini adalah hasil sumbangan daripada sumber hasil hutan paya bakau dan pesisir pantai Bagan Datuk.

Daripada nilai ini, dianggarkan nilai gunaan kawasan hutan paya bakau dan pesisir pantai Bagan Datuk pada tahun 2019 adalah sejumlah RM6,015,200. Penglibatan komuniti setempat terhadap aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya bakau dan pesisir pantai Bagan Datuk juga diukur bagi mengenalpasti tahap dan kesedaran komuniti terhadap pemuliharaan kawasan ini. Empat tahap penglibatan yang dinilai adalah penglibatan dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan perkongsian faedah. Hasil penemuan daripada kajian ini bolehlah digunakan oleh pihak yang terlibat dalam mengurus dan membuat keputusan berkaitan hutan paya bakau dan pesisir pantai di Bagan Datuk. Sejumlah tujuh buah kampung disekitar kawasan hutan paya bakau Bagan Datuk terlibat dalam kajian ini. Kampung yang terlibat adalah Kampung Teluk Panikam, Kampung Pasang Api, Kampung Nipah Baroh, Kampung Sungai Betul, Bagan Sungai Burong, Kampung Rungkup Kechil dan Kampung Sungai Lanchang.