Copper-throated Sunbird male

Fauna merupakan salah satu komponen utama di dalam sesebuah ekosistem. Fungsi dan peranannya penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem terjamin. Mamalia yang berdarah panas, avifauna yang mempunyai bulu pelepah, amfibia yang mempunyai 2 alam kehidupan dan reptilia yang berbisa serta bercangkerang sememangnya menjadikan alam fauna ini menarik untuk dikaji. Ianya merupakan satu ekosistem yang harmoni apabila populasi-populasi spesies ini berinteraksi satu sama lain. Selain daripada menjadi salah satu agen penyebaran biji benih, fauna juga merupakan penyelenggara hutan dan pembolehubah yang penting dalam mencerminkan keadaan sebenar sesebuah ekosistem. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti spesies fauna dan juga spesies indikator yang terdapat di kawasan kajian. Selain itu, kawasan “hotspot” fauna dan spesies fauna unik/penting juga turut dikenalpasti untuk dicadangkan sebagai spesies ikon bagi kawasan kajian.

Bagan Datuk merupakan kawasan hutan paya laut yang menjadi habitat penting kepada fauna. Berdasarkan persampelan yang telah dijalankan, sebanyak 118 spesies vertebrata yang telah direkodkan (27 spesies mamalia, 81 spesies burung dan 8 spesies amfibia dan reptilia). Melalui persampelan ini, sekurang-kurangnya 4 spesies fauna paya laut telah direkodkan iaitu Lesser long-tongued nectar bat (Macroglossus minimus), lotong kelabu – Silver leaf langur (Trachypithecus cristatus), burung Mangrove flycatcher (Cyornis rufigastra) dan ular kapak mangrove – Mangrove pit-viper (Cryptelytrops purpureomaculatus). Hutan di paya laut ini merupakan habitat penting kepada fauna di antara Kuala Gula (utara) dan Kuala Selangor (selatan) yang mana habitat ini merupakan salah satu daripada habitat penting burung yang dikenali sebagai North Selangor Coast di bawah inisiatif Birdlife International. Oleh yang demikian, kawasan paya laut di Bagan Datuk ini penting dalam memastikan kelestarian populasi fauna terutamanya vertebrata dipelihara dan dipulihara.