19 November 2018 – FRIM telah mengadakan Bengkel “Impak Sosio-ekonomi Pemuliharaan Persekitaran Hutan Bakau” dan sesi dialog bersama komuniti Daerah Bagan Datuk bagi projek Germplasma Warisan Hutan Bakau Bagan Datuk pada 17 November lalu di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk, Perak.
Bengkel anjuran Program Perhutanan Sosial (SFP), Bahagian Perancangan Penyelidikan FRIM itu telah dihadiri oleh 136 peserta. Antara yang hadir adalah komuniti dari kampung/penempatan di sekitar hutan paya bakau Bagan Datuk, wakil-wakil agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerjaan (NGO) seperti Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP), Majlis Perbandaran Teluk Intan, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Kerja Raya Bagan Datuk, Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk, dan wakil Pengetua dan Guru Besar beberapa sekolah sekitar Bagan Datuk.
Turut hadir pada bengkel ini juga; YDH. Toh Seri Lela Paduka Prof. Dr. Khalid Ismail, Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH Toh Mangku Diraja Kdr(B) Ahmad Zawawi Abd Aziz, dan YDH Toh Purba Diraja Prof Madya Suhaimi Saidin. Tujuan bengkel adalah bagi membincangkan dan perkongsian maklumat bersama komuniti setempat mengenai Projek Germplasma Warisan Hutan Bakau Bagan Datuk, Perak, faedah dan manfaatnya kepada komuniti.
Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh En. Muhammad Amin bin Safie, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk, Perak. Turut hadir bersama Dr Samsudin Musa, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan (TKPP), FRIM yang telah memberikan ucapan aluan bagi memulakan bengkel. Selain itu, terdapat juga beberapa pembentangan lain oleh En Mohd Hadre Mohamad dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengenai Pengurusan Hutan Paya Bakau Negeri Perak dan pembentangan dari Dr Raja Barizan Raja Sulaiman selaku Ketua Projek mengenai Pengenalan kepada projek Germplasma Hutan Bakau Warisan Bagan Datuk. En Mohd Parid Mamat pula telah membuat pembentangan mengenai komponen projek Kajian Impak Sosio-Ekonomi Pemuliharaan Persekitaran Hutan Bakau Pesisir Pantai Daerah Bagan Datuk, Perak dan disusuli dengan sesi dialog bersama komuniti. Sesi ini turu dibantu oleh ahli-ahli komponen lain termasuklah En Mohamad Shahfiz Azman, Cik Veronica Khoo dan lain-lain ahli.