Majlis menandatangani MoA Projek Germplasma Warisan Hutan Bakau Bagan Datuk telah diadakan pada 29 Mac 2018 di Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Majlis ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr. Abdul Latif Mohmod, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM), Puan Habsah Marjuni, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohd Zin Bin Yusop dan juga ahli-ahli tetap Jawatankuasa Pemandu Projek yang terdiri daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak, Pejabat Daerah Dan Tanah Bagan Datuk, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak.

Upacara menandatangani MoA telah disempurnakan oleh Dato’ Dr Abdul Latif Mohmod dan juga Puan Habsah Marjuni. MoA ini ditandatangani sebagai tanda persetujuan di antara FRIM dan YKMAM dalam menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan kemasyarakatan bagi projek Germplasma Warisan Hutan Bakau Bagan Datuk.

Satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek juga telah dijalankan sebelum majlis menandatangai MoA dan telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah FRIM. Mesyuarat ini bertujuan untuk memantau kemajuan projek serta membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan projek. Semasa mesyuarat ini juga wakil daripada FRIM dan juga YKMAM telah membentangkan kemajuan projek-projek komponen yang dijalankan di bawah projek ini.