Selain daripada fauna yang disebutkan di atas, kehadiran spesies burung air dan burung hijrah di dalam kawasan hutan paya bakau turut diberikan perhatian kerana ianya merupakan antara tarikan utama pelancong. Bancian burung dijalankan oleh pakar burung melalui teropong dan bunyi burung. Spesies burung kemudiannya akan dikelaskan kepada spesies burung air dan spesies burung hijrah. Program pengajaran dan kesedaran awam mengenai aktiviti pemerhatian burung bersama penduduk tempatan juga dijalankan sebagai salah satu aktviti yang mampu menjana ekonomi dalam bidang ekopelancongan terhadap penduduk tempatan.
Kehadiran kepelbagaian spesies burung dapat menunjukkan kepentingan biodiversiti satu tempat. Pakar-pakar burung telah menjalankan pemerhatian pada March 2018 sehingga Februari 2019 di Bagan Datuk. Hasil pemerhatian dengan senarai burung hijrah dan burung air telah dibentangkan pada seminar saintifik. Buku yang berjudul: “Coastal Mangrove Birds of Bagan Datuk, Perak” merupakan salah satu terbitan daripada hasil kajian ini. Selain itu, penduduk tempatan telah dikumpulkan dan diberi nama sebagai Komuniti Flyway. Beting Nature Society pun telah didirikan oleh kumpulan ini untuk menjalankan aktiviti kesedaran awam. Usaha konservasi dan pemantauan burung dan habitat hutan paya bakau akan diteruskan walaupun projek inventori burung telah tamat.