Hutan paya bakau memainkan peranan penting sebagai salah satu ekosistem semula jadi kepada pelbagai spesies flora dan fauna serta menjamin kestabilan kawasan pesisiran pantai. Secara umumnya hutan paya bakau merupakan satu ekosistem hutan yang beradaptasi dalam persekitaran air masin di zon pasang surut di sepanjang pesisiran pantai. Dirian hutan paya bakau yang wujud di sepanjang pesisiran pantai dan muara sungai memainkan peranan yang amat penting kepada kesejahteraan penduduk yang tinggal berhampiran dengan pantai dan muara sungai daripada impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang termasuklah ancaman tsunami.
Dalam usaha memelihara keunikan hutan paya bakau di Bagan Datuk, penilaian sumber flora hutan paya bakau adalah penting bagi mengenalpasti kepelbagaian dan dirian flora paya bakau di Bagan Datuk. Hasil bancian yang telah dijalankan, sebanyak 17 spesies paya bakau dan 5 spesies bukan paya bakau telah direkodkan dengan purata sebanyak hampir 700 pokok sehektar. Ini menunjukkan kawasan hutan paya bakau Bagan Datuk adalah kaya dengan kepelbagaian spesies hutan paya bakau. Selain itu, hasil kajian ini juga akan dijadikan rujukan bagi menubuhkan germplasma hutan paya bakau di Bagan Datuk.