Kawasan pesisiran pantai di negeri Perak terdiri daripada beberapa jenis hutan di antaranya ialah hutan baya bakau, hutan riparian dan hutan pantai. Hutan ini membentuk jajaran hijau dan menjadi zon penampan. Untuk tujuan memulihara dan mengayakan diversiti spesies hutan paya laut di Bagan Datuk, satu germplasma spesies bakau akan ditubuhkan dengan nama Germplasma Bakau Bagan Datuk. Pada permulaan penubuhan germplasma kutipan stok spesies bakau akan ditumpukan kepada spesies bakau yang tumbuh hidup di Malaysia.

Untuk memastikan bekalan stok tanaman terpulihara, satu nurseri bakau telah ditubuhkan bagi menempatkan anak-anak pokok yang telah dikutip dari seluruh Malaysia. Selain daripada untuk memulihara dan mengaya kawasan hutan bakau untuk tujuan konservasi dan sebagai lindungan semula jadi melalui penanaman pelbagai spesies bakau di Malaysia, usaha ini juga dapat membantu bagi tujuan pembelajaran ekologi spesies bakau. Melalui komponen penubuhan germplasma, anak pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies akan ditanam di dalam kawasan Blok A dan B.