Germplasma adalah sumber genetik hidup seperti biji benih yang dipelihara untuk tujuan pembiakan, pemeliharaan dan kegunaan penyelidikan lain. Sumber-sumber ini terdiri daripada koleksi koleksi benih atau anak pokok yang disemai di tapak semaian. Koleksi germplasma kebiasaannya terdiri dari koleksi pelbagai spesies yang jarang atau tidak ditemui di satu-satu kawasan. Germplasma Bakau pula merujuk kepada germplasma yang ditubuhkan bagi mengumpulkan spesies-spesies bakau di satu kawasan bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan juga penyelidikan. Germplasma Bakau Bagan Datuk menumpukan kepada koleksi spesies bakau yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Germplasma adalah penting terutamanya bagi tujuan pemeliharaan spesies bakau. Selain itu, germplasma juga boleh dijadikan sebagai salah satu medium pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum.

Hutan paya laut mempunyai kepelbagaian fungsi ekosistem antaranya sebagai peghadang ombak, pemecah angin, pemerangkap sampah dan sebagai nurseri hidupan marin.

Berdasarkan bancian yang dijalankan di kawasan lebih 54 ha, terdapat 17 spesies hutan paya laut boleh didapati di dalam kawasan ini

Berdasarkan bancian yang telah dijalankan, spesies paling dominan adalah pokok lenggadai (Bruguiera parviflora) dan dikuti oleh pokok tumu putih (Bruguiera sexangula).

Burung hijrah merujuk kepada burung-burung yang melakukan penerbangan yang panjang, biasanya dari kutub utara ke kutub selatan pada musim sejuk, dan kembali ke tempat asal pada musim panas.

Burung air merujuk kepada spesies burung yang mendiami habitat yang berair seperti di tasik, tepi sungai, muara sungai, dataran lumpur dan pantai. Contoh burung air yang biasa dikenali termasuk itik, angsa, bangau, dan pucung.

Pakar burung biasanya menggunakan teropong atau teleskop untuk memerhati burung. Selain itu, buku panduan burung juga amat penting untuk kenalpasti spesies yang agak mengelirukan. Kadang-kala, pakar burung juga merekodkan bunyi suara burung dan kenalpasti bunyi itu dengan bantuan teknologi komputer.

Kebanyakan spesies kelip-kelip berkomunikasi menggunakan kelipan cahaya untuk mencari pasangan. Setiap spesies mempunyai kelipan yang khusus, dan untuk spesies yang tidak mengeluarkan cahaya, feromon digunakan untuk menarik perhatian pasangannya.

Kelip-kelip dewasa didapati berkumpul (congregate) pada pokok berembang di kebanyakan sungai di negara kita. Namun demikian, kelip-kelip turut berkumpul di pokok-pokok lain seperti bakau minyak, bakau kurap, api-api, nipah dan sebagainya. Peringkat awal kelip-kelip dijumpai di sebalik pokok peragaan, di mana mereka menggemari tanah yang lembap dan dibanjiri air pasang surut. Peringkat larva kelip-kelip merupakan tempoh paling panjang dalam kitar hidupnya. Oleh itu, pemuliharaan habitat kelip-kelip harus merangkumi habitat di sebalik pokok peragaan.

Kelip-kelip diancam oleh:

  • Kehilangan/gangguan habitat semulajadi

Kehilangan kawasan pembiakan kelip-kelip untuk memastikan kemandiran populasi.

  • Pencahayaan buatan

Lampu jalanan, spotlight yang dipasang berhampiran dengan habitat populasi kelip-kelip akan mengganggu kelip-kelip yang menggunakan cahaya sebagai alat komunikasi untuk mencari pasangan.

  • Pencemaran air

Kawasan pembiakan kelip-kelip di sebalik pokok peragaan sentiasa dibanjiri air pasang surut. Oleh itu, sebarang pencemaran akan menjejaskan peringkat awal kelip-kelip yang hidup di atas tanah.

  • Bahan kimia seperti racun perosak dan baja

Penggunaan racun perosak dan baja di kawasan pertanian yang berhampiran dengan habitat kelip-kelip secara langsung akan menjejaskan kualiti air dan tanah habitat pembiakan kelip-kelip.

23% daripada sumber pendapatan tunai komuniti setempat adalah daripada sumber hasil hutan paya laut dan pesisir pantai Bagan Datuk

44% dari komuniti setempat berminat ingin tahu, manakala 34% ingin terlibat sama dalam penubuhan germplasma ini.

Aras pendapatan bulanan isirumah menunjukkan keadaan ekonomi tempatan di kawasan tersebut. Bagi komuniti yang tinggal di sekitar pesisir pantai Bagan Datuk, kajian mendapati bahawa purata pendapatan bulanan isirumah keseluruhan adalah RM1,8967 sebulan.