Hutan paya bakau berperanan penting dari pelbagai aspek, antaranya sebagai benteng untuk melindungi pesisir pantai negara, habitat untuk pelbagai hidupan marin, memelihara biodiversiti flora dan fauna dan juga penyimpanan stok karbon. Selain daripada itu, hutan bakau juga turut menyumbang kepada ekopelancongan dan pembangunan sosio ekonomi komuniti pesisir pantai. Pemeliharaan serta pengurusan hutan paya bakau secara lestari adalah amat penting dalam usaha untuk memastikan hutan paya bakau di negara ini dalam keadaan terpelihara.

Antara isu dan masalah akibat pembangunan di pesisiran pantai ke atas ekosistem hutan bakau adalah ancaman daripada perubahan gunatanah. Malaysia adalah di antara negara yang mengalami kehilangan ekosistem bakau yang tinggi. Hutan bakau sering dibangunkan untuk menjalankan aktiviti akuakultur, pertanian dan pembangunan infrastruktur. Selain daripada itu, hakisan di pesisir pantai juga merupakan ancaman besar kepada hutan bakau. Oleh itu, pelaksanaaan projek-projek yang boleh melestarikan alam sekitar di samping mencapai keseimbangan di antara pembangunan fizikal dengan pembangunan sumber manusia adalah penting. Sebagai contoh, pembangunan di daerah Bagan Datuk, Perak dan juga pembangunan yang melibatkan pengambilan kawasan hutan di tempat lain, hendaklah diseimbangi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh “menebus” kehilangan tersebut.