Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM) telah berganding bahu dalam menjalankan Projek Germplasma Warisan Hutan Bakau Bagan Datuk.
Objektif utama projek ini adalah untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Bakau serta menubuhkan Germplasma Hutan Bakau Bagan Datuk. Selain daripada itu, projek ini juga menjalankan aktiviti penyelidikan dan kemasyarakatan yang menjurus kepada konservasi dan kelestarian kawasan hutan bakau untuk kesejahteraan penduduk di pesisiran pantai. Hasil daripada penyelidikan ini kelak dijangka dapat menubuhkan satu germplasma bakau selain daripada mengalakkan lagi aktiviti konservasi spesies bakau agar terus terpelihara, terutamanya spesies-spesies yang terancam. Kewujudan pusat penyelidikan dan juga pusat pendidikan bakau pula akan menjadi tempat untuk rujukan bagi tujuan penyelidikan, pembelajaran dan program kesedaran. Selain daripada itu, hasil daripada kelestarian hutan bakau juga dijangka dapat meningkatkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat yang secara langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka. Hasil daripada penyelidikan ini juga akan dapat digunakan di dalam penyediaan polisi dan strategi pada masa akan datang.